SEREMBAN: Satu lokasi pembuangan diesel di Kawasan Perindustrian Seremban 2 disyaki sebagai punca berlakunya pencemaran di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Linggi di Port Dickson, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S. Veerapan.

Beliau berkata lokasi itu dipercayai digunakan sebagai tempat penyeludupan dan penyimpanan minyak diesel secara haram manakala Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Sembilan telah menyita sebuah tangki minyak berkenaan.

"Saya dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan telah ke lokasi pembuangan minyak diesel ini. Saya difahamkan lokasi ini sebagai tempat penyeludupan dan penyimpanan minyak diesel secara haram.

"Saya difahamkan ia masih dalam proses siasatan. Suspek terlibat telah membuang minyak diesel ke dalam longkang, akhirnya mencemarkan Sungai Linggi. Akibat pencemaran ini, LRA terpaksa ditutup selama dua hari baru-baru ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Veerapan menyifatkan insiden pencemaran bau diesel di LRA Sungai Linggi, yang berulang dua kali dalam tempoh sebulan itu merupakan perbuatan jenayah alam sekitar, susulan itu pengawasan terhadap aktiviti industri berkaitan dengan sumber air sungai berkenaan sedang ditingkatkan.

Media sebelum ini melaporkan beberapa kawasan di Port Dickson dan bandar raya ini mengalami masalah gangguan dan ketiadaan bekalan air berikutan masalah sumber air mentah berbau diesel di LRA itu pada Sabtu dan 7 Nov lepas.

-- BERNAMA